Baru-baru ini, Komuniti Ibu Bapa Pengguna Lampin Kain Malaysia bersama-sama dengan organisasi antarabangsa, Real Diaper Association telah menganjurkan acara antarabangsa tahunan menukar lampin kain, kali keenam di The School by Jaya One.

Lampin kain, alternatif lebih mesra alam dan berpatutan
Selama lima tahun, acara GCDC dengan jayanya telah meningkatkan kesedaran masyarakat dunia yang lampin kain adalah pilihan tepat untuk keluarga moden masa kini. Lampin kain adalah pilihan terbaik ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata dan ibu bapa baharu yang sedang mencari alternatif lain, lebih mesra alam dan berpatutan berbanding lampin pakai buang.
Menurut Cik Isabel Ling, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran GCDC 2016, acara ini adalah sebahagian daripada pergerakan besar-besaran untuk mengubah tanggapan ibu bapa moden tentang lampin untuk bayi mereka.
“Di zaman ini, ramai ibu bapa sudah mula menggunakan lampin kain guna semula yang mempunyai banyak manfaat untuk ibu bapa (dan anak mereka). Selain daripada menyumbang kepada pengurangan sisa buangan dan tempat pelupusan sampah, lampin kain membolehkan seisi keluarga berjimat – kos penggunaan lampin kain adalah separuh daripada kos penggunaan lampin pakai buang.
“Untuk golongan yang gemarkan fesyen, terdapat pelbagai pilihan corak-corak comel dan menarik. Anda juga tidak perlu risau tentang masalah kebocoran dan bahan kimia mencurigakan yang digunakan untuk meningkatkan kuasa penyerapan lampin pakai buang.”
Sehingga kini, terdapat lebih 214 lokasi GCDC 2016 dari 18 negara yang turut serta, termasuklah Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Finland, Great Britain, Ireland, Jepun, Mexico, Peru, Filipina, Puerto Rico, Sepanyol, Afrika Selatan, Singapura, dan Malaysia. Pada 2015, peserta dari 19 negara di 5 benua bergabung untuk meningkatkan kesedaran tentang lampin kain di komuniti sekitar mereka dan di seluruh dunia.

Acara untuk meningkatkan kesedaran tentang lampin kain ini disokong oleh The School by Jaya One dan penaja-penaja tempatan dan antarabangsa yang lain.
Comments
Post a Comment